Thursday, December 31, 2009

KOLEJ ISLAM SULTAN ALAM SHAH (BRA0001)

1.0 Tajuk :PENGURUSAN DAN PELAKSANAAN KOKURIKULUM TINGKATAN ENAM DI SEKOLAH
2.0 Objektif.
Di akhir kursus ini peserta akan dapat;
2.1 Mengetahui dan memahami konsep, matlamat, prinsip dan strategi pelaksanan kokurikulum
2.2 Memahami dasar pelaksanaan kokurikulum.
2.3 Mengetahui, memahami dan dapat melaksanakan pengurusan kokurikulum T6 di sekolah

3.0 Definisi Kokurikulum
3.1 Kokurikulum adalah ’kegiatan kumpulan’.
Rujuk Warta Kerajaan No. 5652 Jilid 11/Bil.27 (Tambahan No. 2) bertarikh 28hb Disember 1967, (Peraturan Kursus Pengajian Sekolah 1956).

3.2 ’Kegiatan kokurikulum’ ertinya apa-apa kegiatan yang dirancang lanjutan daripada proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah yang memberikan pelajar peluang untuk menambah, mengukuh dan mengamalkan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang dipelajari di bilik darjah.
Rujuk Peraturan 2 dalam Peraturan-Peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1997 seperti dalam Warta Kerajaan Jilid 42/No.11 (Tambahan No. 41), Perundangan (A)/P.U.(A) 196 bertarikh 21 Mei 1998.

3.3 Kokurikulum adalah kegiatan atau aktiviti selain mata pelajaran yang diajarkan dalam bilik darjah tetapi yang dianggap sebagai sebahagian daripada kursus pendidikan pelajar di sekolah (misalnya kegiatan dalam persatuan-persatuan, kegiatan sukan, dan lain-lain).
(Rujuk Subperaturan 3(1) dalam Peraturan-peraturan (kurikulum Kebangsaan) 1997 yang diterbitkan sebagai P.U.(A) 531/97)

3.4 Kokurikulum merupakan satu saluran pembelajaran yang berasaskan gerak kerja yang terancang. Gerak kerja ini merupakan lanjutan daripada proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Oleh itu aktiviti-aktiviti kokurikulum dapat menyediakan peluang kepada murid untuk menambah, mengukuh dan mengamalkan pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai yang telah dipelajari di bilik darjah.

Rujuk Buku Penerangan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah, Dewan Bahasa dan Pustaka (1992); m.s. 11).

Kokurikulum adalah bidang pengajian luar bilik darjah atau yang tidak formal.

Rujuk Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran, Dewan Bahasa dan Pustaka (1984), m.s. 269.

4.0 Punca Kuasa Pelaksanaan Kokurikulum

Pelaksanan pelaksanaan kokurikulum di sekolah-sekolah adalah berdasarkan punca kuasa daripada Dasar Pelajaran Negara 1956, Akta Pelajaran 1961 (dilaksanakan pada tahun 1996), Warta Kerajaan 28 Disember 1997, Laporan Kabinet 7 November 1979, Surat Pekeliling Ikhtisas dan Surat-surat siaran.

4.1 Kokurikulum adalah sebahagian daripada Kurikulum Kebangsaan.

"Kurikulum Kebangsaan ialah suatu program pendidikan yang termasuk kurikulum dan kegiatan kokurikulum yang merangkumi semua pengetahuan, kemahiran, norma, nilai, unsur kebudayaan dan kepercayaan, untuk membantu perkembangan seseorang murid dengan sepenuhnya dari segi jasmani, rohani, mental dan emosi serta untuk menanam dan mempertingkatkan nilai moral yang diingini dan untuk menyampaikan pengetahuan."

Rujuk Subperaturan 3(1) dalam Peraturan-peraturan (kurikulum Kebangsaan) 1997 yang diterbitkan sebagai P.U.(A) 531/97.

4.2 Pelaksanan Kokurikulum adalah Wajib

Sebagai sebahagian daripada Kurikulum Kebangsaan, maka pelaksanaan kokurikulum di sekolah adalah wajib.
{Rujuk Seksyen 18, Akta Pendidikan 1996 (Akta 550)}

Kegagalan atau keengganan melaksanakan kegiatan kokurikulum di sekolah adalah suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya
{Rujuk Subseksyen 135(1) Akta Pendidikan 1996 (Akta 550)}

4.3 Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran 7 November 1979 telah memperakui bahawa:-

Perkara 50.
Semua murid hendaklah digalakkan supaya mengambil bahagian secara lebih aktif dalam kegiatan kokurikulum. Guru-guru hendaklah didedahkan kepada pendekatan yang menarik dalam pengendalian kegiatan-kegiatan kokurikulum apabila mereka menjalani kursus latihan perguruan. Guru-guru yang telah banyak berjasa dalam kegiatan kokurikulum hendaklah diberi pengiktirafan yang sewajarnya.

Perkara 51.
Untuk meninggikan lagi mutu kegiatan pasukan pakaian seragam di sekolah-sekolah, maka adalah diperakukan supaya guru-guru yang memimpin pasukan tersebut hendaklah terdiri dari mereka yang telah menerima latihan kepimpinan dan pengendalian dalam pergerakan-pergerakan tersebut.

Perkara 52.
Memandangkan latihan Pasukan Kadet Tentera dan Pasukan Kadet Polis adalah sangat berfaedah untuk menyemai semangat disiplin dan berdikari, maka adalah diperakukan supaya pasukan-pasukan tersebut hendaklah diperluaskan seberapa banyak yang boleh.

Perkara 53.
Untuk menjamin supaya persatuan-persatuan atau kelab-kelab di sekolah-sekolah dapat memainkan peranan dalam pembentukan perpaduan di kalangan murid-murid, adalah diperakukan bahawa:

1. Sekolah-sekolah digalakkan menubuhkan persatuan/ kelab yang boleh mendatangkan faedah kepada murid-murid. Pemilihan persatuan/ kelab yang hendak ditubuhkan itu hendaklah berasaskan kepada kemudahan yang ada dengan suasana dan persekitaran serta keperluan tempatan.

2. Persatuan Bahasa seperti Persatuan Bahasa Malaysia, Persatuan Bahasa Inggeris, Persatuan Bahasa Cina, Persatuan Bahasa Tamil dan sebagainya hendaklah ditubuhkan dengan tujuan untuk menyemai, memupuk dan menanam minat murid-murid dan meningkatkan kemajuan mereka dalam penggunaan sesuatu bahasa. Murid-murid dari berbagai kaum hendaklah juga digalakkan menyertai persatuan bahasa selain daripada persatuan bahasa ibunda mereka sendiri.

Perkara 54.
Untuk memastikan kegiatan sukan dan olahraga dapat mencapai matlamat yang ditentukan adalah perakuan:
1. Sekolah-sekolah hendaklah mengadakan senaman beramai-ramai yang melibatkan penyertaan semua murid. Pertandingan senaman beramai-ramai di antara pasukan-pasukan di sesebuah sekolah dan diantara sekolah-sekolah hendaklah dijalankan.

2. Permainan-permainan di sekolah seberapa yang boleh hendaklah melibatkan penyertaan murid yang ramai seperti dalam perlumbaan merentas desa, jalan kaki dan sebagainya. Di samping itu mereka yang hendak diberikan latihan atau kemahiran peringkat tinggi hendaklah dilayani juga.

3. Kegiatan sukan dan olahraga di peringkat sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan hendaklah terus dipergiatkan supaya matlamat perpaduan di antara murid-murid berbilang kaum dan lapisan masyarakat dapat dicapai.

Perkara 55.
Adalah diperakukan bahawa semua sekolah memperkemaskan lagi program-program kokurikulum dan dalam pelaksanaan program-program ini keutamaan hendaklah diberikan kepada kegiatan-kegiatan yang boleh memupuk disiplin di kalangan murid-murid. Di samping itu guru-guru yang mengendalikan kegiatan kokurikulum hendaklah diberi pengiktirafan yang sewajarnya supaya mereka lebih bergiat lagi terutama dari segi penyeliaan

4.4 Falsafah Pendidikan Kebangsaan 1988

“Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan untuk melahirkan warga negara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga dan negara.”

4.5 Dalam Warta Kerajaan Bertarikh 21hb Mei 1998, Jilid 42. No.11 Tambahan No.41, Perundangan (A), P.U (A) 196. AKTA PENDIDIKAN 1996 ada dinyatakan;
PERATURAN-PERATURAN PENDIDIKAN (PERSATUAN SEKOLAH) 1998

Guru Besar atau Pengetua, setelah menerima permohonan secara bertulis, hendaklah menubuhkan persatuan sekolah daripada kategori yang berikut:-

(a) mata pelajaran yang diajar di sekolah sebagaimana yang dinyatakan dalam Peraturan-Peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1997;
(b) hobi dan rekreasi;
(c) sukan dan permainan;
(d) badan beruniform; atau
(e) apa-apa persatuan lain yang diluluskan oleh Pendaftar.

No comments:

Post a Comment